Asma atau biasanya disebut sebagai semput atau lelah, merupakan sejenis penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penguncupan saluran pernafasan. Orang yang mengalami penyakit asma akan menunjukkan beberapa tanda atau gejala tertentu. Di antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan termasuklah pernafasan yang berbunyi seolah-olah orang bersiul, terutama sekali apabila pesakit itu menghembuskan nafasnya. Ini dinamakan "wiz" yang kedengaran secara berulang-ulang. Namun ada juga yang tidak mengalami wiz, tetapi akan mengalami batuk terutamanya di waktu malam atau selepas melakukan latihan fizikal.
Adakalanya batuk tersebut dialami secara berterusan lebih daripada seminggu. Selain itu, pesakit akan mengadu sesak nafas dan ketat dada. Dalam keadaan asma yang tidak dapat dikawal, ramai juga yang mengadu terdapatnya lendir yang amat sukar hendak dikeluarkan.
Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah alahan, walaupun tidak semua pesakit asma mempunyai masalah ini. Alahan dipercayai dapat meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan asma. Di kalangan pesakit asma dianggarkan lebih kurang 80 peratus kanak-kanak dan 50 peratus orang dewasa mengalami masalah alahan. Selain itu, pesakit asma yang mempunyai masalah alahan lebih mudah mengalami serangan asma apabila terdedah kepada bahan pencetus asma yang tidak mempunyai sifat alahan terhadap jangkitan virus.
Serangan asma yang dialami tidak semestinya sama bagi setiap individu. Ada yang hanya mengalami sedikit rasa sesak nafas manakala yang lain mungkin mengalami sesak nafas yang teruk setiap hari. Segelintir pesakit asma mengalaminya dalam masa yang singkat manakala ada pula yang mengalami secara berterusan untuk beberapa hari lamanya. Selain itu ada pesakit yang akan mengalami keadaan yang mencemaskan manakala yang lain hanya mengalami sedikit gangguan keselesaan bernafas sekali sekala.
Keadaan sebegini menunjukkan bahawa asma merupakan sejenis penyakit yang tidak menentu dan ini secara tidak langsung menerangkan mengapa penyakit asma sukar difahami dan dikawal. Namun demikian, program pendidikan yang disediakan oleh kerajaan dan yang terdapat dalam tapak web kesihatan dalam internet boleh membantu mendidik penghidap asma hidup secara aktif supaya dapat melakukan aktiviti harian sama ada di tempat kerja, sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja tanpa banyak gangguan.
Bagaimana Asma Berlaku
Punca sebenar terjadinya asma atau siap yang akan menghidap penyakit ini tidak dapat dipastikan. Namun begitu, apa yang jelas ialah, serangan asma berlaku apabila terdapat perubahan di dalam saluran pernafasan. Perubahan yang dimaksudkan adalah inflamasi atau bengkak yang seterusnya mengakibatkan saluran pernafasan menguncup dan peka terhadap rangsangan luar.
Perubahan Yang Berlaku Dalam Penyakit Asma
Inflamasi Tiub dalam saluran pernafasan mudah mengalami iritasi, menjadi bengkak dan kelihatan, merah. Seterusnya lendir yang pekat akan dihasilkan dan menyumbatkan saluran pernafasan. Pesakit akan mula batuk apabila dia cuba untuk mengosongkan saluran pernafasan yang tersumbat ini. Sekiranya inflamasi kerap berlaku dan keadaannya teruk, tisu saluran pernafasan akan menebal secara kekal. Ini menyebabkan pesakit lebih sukar bernafas.
Kuncup: Otot yang mengelilingi saluran pernafasan mungkin menguncup dan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Keadaan ini dinamakan bronkospasme atau bronkokonstriksi. Pesakit akan berasa dadanya ketat.
Peka: Saluran pernafasan amat peka terhadap pendedahan kepada benda- benda luaran seperti habuk, asap rokok, atau udara sejuk.
Bilakah Asma Disyaki Berlaku?
Asma disyaki berlaku apabila seseorang individu mengalami "wiz" secara berulang -ulang, terutama sekali semasa menghembus nafas, batuk kronik atau didapati berulangkali mengalami bronkitis.
Penyakit asma dapat disahkan sekiranya gejala-gejala yang disebutkan di atas, beserta ukuran spirometer halangan saluran pernafasan (satu ukuran keupayaan bernafas) dapat dipulihkan dengan ubat agonis beta-2 yang disedut ke dalam mulut dan kortikosteroid oral terapi dos tinggi selama lima hingga 10 hari.
Apakah Yang Boleh Dilakukan Bagi Membantu Pesakit Asma?
Pendekatan yang sering diambil dalam rawatan asma bermatlamat untuk mengubah semula perubahan yang sering berlaku pada pesakit, iaitu inflamasi, penguncupan dan kepekaan saluran pernafasan.
Bagi mencapai matlamat, ada asma seperti habuk, kutu, asap rokok dan sebagainya. Selain itu pesakit juga boleh menggunakan ubat-ubatan pencegahan seperti kotikosteroid, kromolin dan ketotifen serta terapi imun alahan.
Langkah kedua adalah dengan menggunakan ubat-ubatan bronkodilator iaitu ubat yang berupaya mengembangkan saluran pernafasan dan melegakan pernafasan pesakit dengan cepat seperti teofilin (yang mempunyai sifat kafein), agonis beta dan ipratropium. Ubat-ubat begini sesuai digunakan apabila serangan asma telah berlaku. Dalam kebanyakan kes, ia berkesan untuk mengawal keadaan pesakit melainkan asma sudah menjadi terlalu serius di mana pesakit perlu menerima rawatan yang lebih rapi di hospital seperti kortikosteroid dalam bentuk suntikan serta terapi oksigen dengan bantuan alat pernafasan tertentu.
Dalam menentukan rawatan yang sesuai, perlu diingatkan bahawa asma merupakan suatu penyakit cepat berubah dan mungkin akan menjadi lebih buruk dengan perubahan persekitaran, seperti perubahan cuaca atau musim, atau dengan jangkitan virus. Dalam hal demikian, setiap pesakit asma dianggap unik dan rawatan yang diterima mungkin berbagai-bagai bergantung kepada keadaan masing- masing.Sumber: www.prn2.usm.my
0 comments:
Post a Comment